Sunday, July 8, 2007

Kem Kewartawanan


Kem Kewartawanan - Jun 2007


Pada cuti bulan Jun yang lepas, 4 orang pelajar Melayu dari sekolah kami, Sekolah Menengah Pei Hwa telah pergi ke Kem Kewartawanan Berita Harian. Kami telah memilih untuk meluangkan masa cuti sekolah kami untuk menghadiri kem ini dan mempelajari bagaimana menjadi seorang wartawan. 4 orang pelajar ini terdiri daripada diri saya sendiri - Luqman (2E3), Hazlyn & Fasyiha (2N1) dan Rosdayana (2E2). Kem Kewartwanan Berita Harian itu berlangsung dari 04 Jun sehingga 06 Jun. Kami tidak perlu bermalam di sana. Setiap hari, Ia bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Pada hari pertama, kami betul-betul merasa berat untuk masuk ke dewan atau auditorium Berita Harian tersebut kerana kami sangka bahawa kem itu akan membosankan – menulis akhbar dan perkara-perkara lain yang sudah kami pelajari. Pada pagi itu, kami tiba di dewan pada jam 7:45 pagi untuk mendaftarkan diri. Setelah itu, kami diberi makanan dan juga akhbar Berita Harian untuk kami baca. Setiap sekolah diberi satu akhbar dan setiap pelajar diberi sepaket makanan.

Setelah makan, kami harus ke dewan untuk mendengar penjelasan tentang perkara-perkara penting yang harus kami ketahui, termasuklah jadual yang harus dituruti. Apabila kami diberitahu bahawa kami berpeluang bertemu artis dan selebriti, hati kami mula berlonjak. Perasaan kami yang mulanya bosan tiba-tiba bertukar.

Pada hari itu, kami mengikuti ceramah-ceramah daripada para wartawan dari Berita Harian seperti Cik Haryani Ismail, Cik Dewani Abbas, Cik Zulriyah, Abang Norman Sawi, Abang Nazri Hadi, Abang Farid Hamzah and Kak Soraya Salim. Mereka memegang jawatan seperti seorang editor, wartawan, jurugambar dan penyunting. Kami berempat juga diberi kerja secara kumpulan. Saya sebagai seorang penyunting, Rosdayana seorang jurugambar , Hazlyn seorang editor and Fasyiha telah memilih untuk menjadi seorang wartawan dalam kem itu.

Selepas sehari mendengar ceramah daripada para wartawan, kami dikejutkan dengan persembahan tarian daripada kumpulan JDI! Mereka tiba dan mula berdansa di hadapan kami. Semua orang mula memetik gambar mereka dengan menggunakan kamera masing-masing, terutamanya jurugambar-jurugambar. Selepas mereka berjoget, kami diberi peluang untuk menanyakan mereka apa sahaja soalan dalam sebuah sidang akhbar ataupun ‘Press Conference’. Daripada informasi-informasi dan jawapan yang diberikan oleh mereka, kami dikehendaki menulis laporan tentang kumpulan ini dalam akhbar. Sungguh memuaskan.

Pada hari kedua pula, kami tiba tepat pada waktunya. Semua pelajar diberitahu bahawa kami akan ke Stadium Nasional untuk membuat laporan serta mengambil gambar di sana sebelum ia dirobohkan! Betapa gembiranya hati kami. Kami telah membawa pakaian Hari Kebangsaan untuk diragakan dan mengambil gambar kerana ia penting untuk laporan akhbar yang harus kami siapkan. Apabila tiba di sana, kami diberi keterangan tentang cara mengambil gambar oleh jurugambar profesional Berita Harian, Encik Tukiman Warji. Setelah itu, kami diberi satu jam untuk ke mana-mana dan memetik gambar.

Setelah itu, kami pulang ke dewan untuk memberi dua keping gambar terbaik kepada Encik Tukiman Warji untuk beliau menilainya. Kami memilih dan memberi kepadanya. Beliau memberitahu kami bahawa kami boleh berusaha lagi. Kami tidak berputus asa. Kami akan terus berusaha untuk laporan yang harus kami siapkan. Semua sekolah diberi penilaian oleh Encik Tukiman Warji. Setelah diberi penjelasan, kami mula menulis laporan. Perbincangan antara wartawan-wartawan dengan para pelajar diadakan dalam dewan. Sekolah kami juga mengajukan soalan bertalu-lalu. Para wartawan itulah yang menjadi guru kami selama tiga hari itu.

Pada hari ketiga dan yang terakhir, kami semakin ghairah! Kami tahu pasti ada kejutan bagi semua peserta dan pelajar kerana hari tersebut adalah hari terakhir kem. Memang tepat sangkaan kami. Kami dapat berjumpa dengan Indra shahdan dan adik beradik kembar May dan Choy! Pelajar-pelajar perempuan semua terjerit-jerit dengan kemunculan Indra Shadan. Bagi yang lelak pula, semuanya terpekik melihat ketiga-tiga selebriti itu! Termasuk saya! Satu sidang akhbar diadakan sekali lagi. Selama dua jam, kami bertanyakan soalan-soalan cepu emas kepada mereka tanpa henti. Barisan menjadi semakin panjang, sehingga ada tidak dapat bertanya !

Selepas sidang akhbar itu, sebuah sesi bergambar pula berlangsung. Saya telah berpeluang untuk bersalam dan memeluk May dan Choy! Sungguh gembira saya! Bagi Rosdayana, Fasyiha dan Hazlyn pula, mereka telah dapat peluang untuk bergambar dengan Indra Shahdan. Selepas mereka beredar, kami diberi satu jam untuk berehat. Selepas itu, kami perlu membawa laporan akhir tentang kem itu. Semua harus dimasukkan dalam laporan itu. Kami memberikan lebih perhatian kepada sidang akhbar bersama Indra Shahdan dan May & Choy. Selepas waktu yang diberi tamat, Cik Haryani dan Cik Zulriyah menyemak laporan yang diberi. Sementara menunggu, kami telah menikmati persembahan yang mantap oleh Rauzan, penyanyi daripada kumpulan Beats Society! Peserta yang ingin menyanyi juga diberi kesempatan untuk menyanyi atau menari dan memenangi hadiah pada ketika itu.

Setelah laporan disemak, kami diberi penilaian. Walau pun kumpulan dari sekolah kami tidak memenangi apa-apa kategori namun kami berpuas hati dengan pencapaian kami sendiri. Dengan berat hati kami melangkah pulang meninggalkan kem tersebut. Ia sungguh menyeronokkan! Kami betul-betul berharap dapat menyertai kem itu sekali lagi pada bulan November akan datang.